Tuesday 21 December 2010

SABAR ADA MANFAATNYA

       Gara-gara tidak sabar menanti gilirannya ketika berbaris membeli tiket loteri, seorang wanita ‘kehilangan’ RM 55 juta apabila lelaki yang mengambil tempat beliau di belakang berjaya membeli tiket bertuah tersebut. Kejadian ini berlaku di Manila, Filipina, di sebuah kedai yang menjual tiket loteri yang amat popular di negara tersebut.

       “Saya berasa kasihan terhadap wanita tersebut,” ujar lelaki bertuah itu. "Kalaulah dia tidak memotong barisan di hadapan saya, dialah yang akan menjadi jutawan segera, bukannya saya. Saya melihat dia begitu tidak sabar-sabar menunggu di barisan dan apabila dia memotong di hadapan, saya hanya berdiam diri dan membenarkan dia mengambil tempat saya,” tambah lelaki itu.

          Cerita di atas yang saya baca di sebuah akhbar mengingatkan saya tentang bagaimana kehidupan kita di zaman serba moden ini amat mementingkan ‘kecepatan’ untuk melakukan sesuatu perkara. Lihat sajalah barangan yang dijual di pusat membeli belah. Kita ada kopi segera, mee segera, roti canai segera dan bermacam-macam lagi makanan dan minuman yang dilabel dengan perkataan ‘segera’ di hujung namanya.

          Tidak cukup dengan itu, kita disogokkan pula dengan iklan wang segera, kelulusan pinjaman segera, ijazah segera (tanpa perlu bersusah payah pergi ke kuliah dan melakukan tugasan), rawatan segera untuk ‘mengubati rambut botak’ dan lain-lain lagi.

          Semua ini memberikan kita tanggapan bahawa masyarakat kini ‘tergila-gila’ untuk melakukan banyak perkara dalam tempoh sesingkat yang mungkin. Lihat sajalah ketika kita berada di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, penghuninya seakan-akan ‘dikejar hantu’ berlari-lari anak menuju ke destinasi masing-masing.

          Melakukan sesuatu tanpa ada rasa sabar atau inginkan ia berlaku dalam masa yang singkat boleh memberikan tekanan. Baru-baru ini, saya berbicara dengan seorang ahli Persatuan Wartawan di Kuching. Beliau meluahkan perasaannya kepada saya, menceritakan bagaimana beberapa orang rakan seperjuangannya yang telah pergi selama-lamanya pada usia yang sebegitu muda, masih dalam tempoh bertugas.

          “Mungkin beban tugas sebagai wartawan ini memberikan tekanan yang terlampau”, ujar saya melontarkan pendapat.

          “Memang tepat tu Telemachus. Kami sentiasa berkejar ke sana ke mari mencari bahan cerita, terpaksa menepati waktu untuk menyiapkannya. Kadang-kala makan pun tak sempat”  kata rakan saya itu.

          Tekanan yang terlampau akan membuatkan badan kita mudah dihinggapi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan pelbagai penyakit kronik lain.

          Dalam pada itu, kita perlu ingat banyak perkara di dalam hidup ini yang tidak dapat diambil jalan singkat. Ianya tertakluk kepada hukum menabur dan menuai. Seperti petani yang tidak boleh menuai dahulu sebelum menabur, perkara-perkara seperti mendidik anak-anak, mendapatkan pendidikan, membentuk kemahiran berkomunikasi dan menjadi pemimpin yang berkesan; semua ini memerlukan pelaburan dalam bentuk masa yang panjang.

          Ambil contoh untuk menjadi seorang penceramah yang disegani seperti Prof. Dr Fazillah Khamsah misalnya. Ia tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Kemahiran seperti mengolah ucapan kepada bentuk yang mudah diterima dan difahami oleh pendengar, peka kepada isyarat badan dan selesa berinteraksi dengan penonton, kesemuanya memerlukan ribuan jam persiapan dan latihan.

          Dalam pendidikan pun sedemikian rupa. Saya secara peribadi tidak begitu yakin dengan kualiti graduan yang dihasilkan secara ‘ekspres’ oleh sesetengah institusi pendidikan tinggi.

          Satu konsep yang saya pegang dari dahulu lagi ialah pelajar memerlukan masa untuk menerima, memahami dan mengaplikasi ilmu yang disampaikan. Mereka mungkin mendapat keputusan cemerlang kerana menghafal nota dan ‘memuntahkannya’ semula dalam dewan peperiksaan. Apabila berhadapan dengan dunia sebenar yang begitu berbeza dari teori yang mereka pelajari, pelajar-pelajar ini boleh hanyut dan gagal menyumbang sesuatu yang berguna.

          Hidup ini adalah singkat. Ada yang membandingkannya dengan sekuntum bunga yang mekar di waktu pagi dan layu bila matahari terbenam. Apabila kita tidak sabar dan terlalu ingin melakukan sesuatu dalam masa yang pendek, kita akan gagal menghargai saat-saat manis dalam hidup yang datang hanya sekali.

          Saya percaya ramai antara kita ibubapa, kerana ingin menyiapkan kerja di pejabat untuk mengejar waktu, terpaksa mengorbankan majlis harijadi anak, tidak menghadiri hari sukan sekolah dan terpaksa mencipta alasan kenapa kita  terlupa yang hari Ahad lepas, kita telah berjanji untuk membawa anak kita menonton wayang.

          Saat-saat manis sebegini hanya datang sekali seumur hidup, ketika anak-anak kita masih di bawah lindungan ‘sayap’ kita sebagai ibubapa. Jika kita gagal mengambil kesempatan untuk berhenti sejenak, merenung dan menikmatinya, semuanya akan berlalu tanpa kita sedari. Kita akan kehilangan sesuatu yang lebih berharga dari jutaan wang ringgit, iaitu kenangan terindah bersama dengan orang yang kita sayangi.

          Justeru, sikap bersabar perlulah kita amalkan setiap hari di dalam hidup kita. Memang kita perlu akui yang kini, lebih banyak yang diharapkan daripada kita sebagai pelajar, usahawan, pegawai kerajaan dan ibubapa. Jangan jadikan beban tugas dan tanggungjawab kita sebagai alasan untuk kita tidak berhenti sejenak dan menilai apa yang sebenarnya kita kejari.

          Jangan oleh kerana kita inginkan segalanya ‘segera’, hidup kita seperti seorang yang gigih mendaki tangga untuk mencapai kejayaan yang dia inginkan hanya untuk menyedari, apabila sampai ke puncak, tangga itu bersandar di dinding yang salah. Sesungguhnya, bersabar itu ada manfaatnya.  

No comments:

Post a Comment