Friday 17 December 2010

BELAJAR DARI PENGALAMAN

          Hidup adalah satu siri pengalaman yang kita lalui. Pengalaman adalah peristiwa atau kejadian yang kita alami setiap hari sama ada baik atau sebaliknya. Berkenalan dengan kekasih, berkahwin dan menimang cahaya mata adalah antara pengalaman hidup yang positif, meninggalkan kesan yang mendalam dan ingatannya dibawa hingga ke akhir hayat.

          Pengalaman negatif biasanya meninggalkan kesan yang kurang menyenangkan. Kematian orang yang kita kasihi, penceraian, gagal dalam peperiksaan dan hilang pekerjaan adalah kejadian yang kita ingin lupai dengan pantas. Kita juga berharap yang ianya tidak akan berulang pada masa akan datang.

          Kita pernah mendengar bahawa, untuk menjadi lebih matang dalam hidup, kita perlu belajar daripada pengalaman yang kita lalui. Selalunya, pengalaman yang banyak mengajar kita adalah kejadian yang negatif. Semasa ia berlaku, kita berasa kurang senang merasainya walaupun tersingkap di sebaliknya, ada pengajaran yang berharga. Misalannya, walaupun banyak kali gagal, akhirnya kita berjaya. Kegagalan adalah pengalaman pahit. Namun, pengajaran di sebaliknya adalah ‘jangan putus asa’. Nikmatnya adalah kejayaan dalam bidang yang kita idam-idamkan.

          Pengalaman positif juga boleh menyedarkan kita. Umpamanya, setelah berusaha bersungguh-sungguh, kita berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan. Dengan itu, kita akan menghargai nilai bekerja kuat dan tidak mengenal putus asa untuk berjaya.  

          Untuk belajar dari pengalaman, kita perlu bertanyakan tiga soalan iaitu; Apakah yang telah saya lakukan dengan jayanya? Apakah yang boleh saya perbaiki? Apa yang dapat saya pelajari daripadanya? Soalan-soalan ini membolehkan kita menimba pengajaran dari pengalaman secara teratur. Ia memudahkan kita untuk mengingatinya di masa akan datang.

          Soalan pertama iaitu ‘Apakah yang telah saya lakukan dengan jayanya?’ membolehkan kita menganalisa perkara positif yang berlaku. Secara peribadi, selepas kelas, kuliah atau seminar, saya akan bertanyakan soalan ini dan menyenaraikan perkara positif yang telah saya lakukan. Misalannya, saya dapat menarik perhatian pendengar, tidak melebihi masa yang ditetapkan dan berjaya menghabiskan pengajaran seperti yang dirancang.

          Selain penting untuk memotivasikan diri sendiri, soalan di atas membolehkan kita fokus untuk melakukan sesuatu tugas dengan baik. Ia mengingatkan kita kepada kejayaan-kejayaan kecil kita dalam melakukan sesuatu perkara. Lama-kelamaan, kejayaan kecil ini membawa kita kepada kejayaan yang lebih besar di dalam hidup.

          Tidak semua yang kita lakukan sempurna dan bebas dari kesilapan. Dengan menanyakan diri ‘Apakah yang dapat saya perbaiki?, kita mengenalpasti kesilapan atau kekurangan dan melakukan sesuatu untuk memperbetulkannya. Dalam kelas misalnya, ada harinya saya perlu meningkatkan lagi kawalan ke atas pelajar-pelajar agar mereka lebih menumpukan perhatian. Saya juga perlu melibatkan, dengan lebih lagi, pelajar yag agak pendiam untuk sama-sama dalam perbincangan.

          Jika wujud situasi yang sama di masa hadapan, dengan menanyakan soalan kedua ini dan mengenalpasti kesilapan serta kekurangan, sedikit demi sedikit, kita memperbetulkan diri. Dengan berlalunya masa, banyak kesilapan yang kita lakukan dan kekurangan yang kita ada akan dapat dielak dan diperkuatkan. Kita menjadi insan yang sentiasa memajukan diri.

          Soalan terakhir iaitu ‘Apakah yang dapat saya pelajari dari semua ini?’  lebih merupakan kesimpulan kepada apa yang telah kita lalui dan pelajari. Ia merumuskan pengajaran yang kita terima. Dalam kelas misalnya, daripada kesilapan saya tidak mengawal kelas dengan baik, saya mempelajari bahawa untuk menyampaikan pengajaran dengan baik dan berkesan, saya perlu mengawal tumpuan pelajar-pelajar saya. Justeru, dalam kelas akan datang, saya akan mengambil ikhtibar dalam menjawab soalan ketiga ini dan bersedia dengan kaedah untuk memastikan tumpuan pelajar terhadap pengajaran saya tidak terjejas.

          Dengan berlalunya masa, pengalaman sepatutnya menjadikan kita lebih matang, tabah dan cekal menghadapi hari-hari mendatang. Kita lebih matang dalam tindakbalas terhadap sesuatu situasi, sama ada baik atau sebaliknya. Kita lebih tabah kerana fikiran kita lebih terbuka dan tidak cepat melatah. Kita lebih cekal kerana kita akan melihat bahawa, dalam setiap pengalaman, terdapat peluang untuk kita belajar sesuatu yang berguna daripadanya.

          Pengalaman adalah guru yang terbaik. Jadikan amalan untuk bertanyakan tiga soalan di atas setiap hari. Catatkan agar dapat dirujuk bila memerlukannya. Nescaya, kita tidak akan terlepas peluang dan membiarkan hidup kita berlalu tanpa mengecapi sesuatu yang berharga iaitu pengajaran dari pengalaman yang kita alami.

No comments:

Post a Comment