Saturday 11 December 2010

NIKMATNYA MEMBACA

          Saya terhutang budi kepada guru Bahasa Inggeris yang mengajar saya sewaktu di sekolah menengah dahulu. Dua puluh enam tahun yang lalu, Puan Yap telah menyemai satu tabiat yang masih saya amalkan sehingga ke hari ini. ‘If you want to improve your English, you have three choices which are; to read, read and read’ ujar Puan Yap.
          
         Bermula di tingkatan satu, saya bersama rakan-rakan dipaksa membaca satu buku setiap satu atau dua minggu. Dipaksa kerana kami tidak punya sebarang pilihan. Membaca atau pergi mengadap Penolong Kanan yang amat kami geruni. Selain daripada itu, kami perlu menghantar laporan mengenai buku yang dibaca dan menjawab soalan-soalan yang terdapat di kulit akhir buku berkenaan.
          
          Secara purata, saya membaca tiga hingga empat buku sebulan atau kira-kira dua puluh hingga tiga puluh buku setahun. Disiplin ini diteruskan selama lima tahun sehinggalah kami tamat tingkatan lima. ‘39 Steps, Sherlock Holmes, Robinson Crusoe, Three Muskateers, The Man in The Iron Mask, Zorro, Dracula dan Frankenstein’ adalah antara teman setia saya dan rakan-rakan sebelum tidur atau ketika waktu pertukaran kelas.

          Pada mulanya, saya berasa bosan membaca buku-buku tersebut kerana ianya berbahasa Inggeris. Latarbelakang saya sebagai murid sekolah rendah di kampung menyebabkan penguasaan Bahasa Inggeris saya lemah dan saya berasa kurang yakin untuk bersaing dengan rakan-rakan. Mereka adalah pelajar cemerlang yang datang dari berbagai pelusuk negara untuk sama-sama berkampung di sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan.

          Namun, lama kelamaan, saya dapati bila saya membaca, imaginasi saya bertambah aktif. Kerapkali, saya dapat ‘melihat’ apa yang saya baca seolah-olah saya menonton wayang. Suasana, watak utama, jalan cerita, emosi dan dialog bermain-main di minda saya. Semuanya tampak jelas. Tanpa saya sedari, kerana kerap membaca, penguasaan Bahasa Inggeris saya bertambah baik dan saya lebih memahami apa yang saya baca. Kerana itulah, saya seolah-olah melihat wayang gambar bila saya membaca buku-buku saya.

          Buku adalah pintu kepada pengetahuan. Ia adalah jalan untuk menyelami minda, idea, motivasi, falsafah dan nilai-nilai yang dipegang oleh pengarangnya. Dalam ajaran Islam, ayat pertama yang diturunkan dari syurga adalah perintah yang berbunyi, ‘Bacalah’. Melalui buku, kita dapat memahami rahsia alam semesta, petua kejayaan, kisah hidup pemimpin agung dan bermacam-macam ilmu yang lain. Ilmu yang terkandung di dalam buku sama banyaknya dengan pasir di pantai, tidak terkira dan tergarap oleh minda kita sepenuhnya.        

          Minggu lepas, sewaktu kuliah, sambil bercakap tentang buku terbaru yang dibaca oleh saya dan mengedarkannya kepada pelajar-pelajar, saya telah memberikan cabaran kepada mereka. Pelajar-pelajar saya berada di universiti, berumur awal 20an dan berasal dari pelbagai pelusuk tanahair.

          Saya cabar anda sekelian untuk menghabiskan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk membaca’ ujar saya.

          Bacalah buku-buku yang berkualiti, yang ditulis oleh mereka yang berjaya’ tambah saya lagi.

          Salah satu tabiat masyarakat yang maju ialah sayangnya mereka terhadap ilmu dan ilmu hanya boleh diperolehi dengan membaca. Percayalah, jika anda menjadikan membaca sebagai satu yang wajib dilakukan sama seperti makan, mandi, memakai pakaian dan sembahyang, anda akan menjadi individu yang matang pemikirannya, mampu melihat perkara dari pelbagai perspektif dan akan mempunyai lebih peluang untuk berjaya’ celoteh saya kepada pelajar-pelajar saya.

          Saya rasa, tabiat yang ditanam oleh Puan Yap terlalu berharga untuk saya simpan. Saya ingin menjadi seperti beliau yang telah memberikan saya pelita untuk menerangi jalan saya. Saya berharap yang saya akan berjaya membangkitkan minat membaca di kalangan pelajar-pelajar saya. Jika tidak semua, memadailah segelintir dari mereka akan mengamalkan tabiat membaca dan menurunkannya kepada generasi yang seterusnya.

          Terima kasih Puan Yap kerana memberikan saya permata yang amat berharga iaitu ilmu yang saya perolehi dari buku-buku yang saya baca.

22 Okt 2010

No comments:

Post a Comment