Monday 13 December 2010

PENYAKIT BUANG ANAK

          Terdapat pelbagai jenis penyakit seperti sakit tua, darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Yang lain adalah sakit mental atau gila yang berpunca daripada masalah kecacatan otak yang berasal dari keturunan dan tekanan perasaan yang terlampau.

          Individu yang membuang bayi sendiri mengalami penyakit mental yang serius, setidak-tidaknya semasa ia melakukan perkara terkutuk tersebut. Individu yang normal tidak akan sanggup melakukan perbuatan berdosa yang sedemikian dahsyat. Apakah penjelasan waras yang dapat menerangkan perlakuan individu yang sanggup membuang darah daging sendiri, makhluk yang tidak berdosa, lemah dan perlukan perlindungan?

          Kebelakangan ini, penyakit buang anak ini semakin menular di kalangan rakyat kita. Saban hari kita dengar dan baca, kisah bayi mati ditemui di dalam tong sampah, terapung-apung di sungai, dimamah anjing, dilempar dari kondominium dan sebagainya.

          Masa bercinta adalah masa yang paling indah. Cinta telah menjadi inspirasi ribuan lagu, novel, drama dan cerita sejak zaman berzaman. Klimaks cinta adalah perkahwinan yang menghalalkan hubungan seks pasangan kekasih sesuai dengan hukum agama dan dipersetujui oleh kedua-dua keluarga.

          Masalah timbul bila perasaan cinta ini bercampur baur dengan nafsu sehingga kedua-duanya tidak dapat dibezakan. Di dunia kecil tanpa sempadan kini, kita didedahkan dengan nilai-nilai Barat yang negatif, mesej yang mengagung-agungkan seks bebas tanpa komitmen, tanpa tanggungjawab, hanya untuk keseronokan semata-mata. Perlakuan, ‘beranak dahulu barulah kahwin’ seperti yang dilakukan oleh bintang-bintang Hollywood seolah-olah sesuatu yang sudah halal di sisi agama dan menjadi kebiasaan.

          Apabila perlakuan seks sebegini menjadi amalan, si gadis hamil dan si jejaka yang ‘menghamilkan’ si gadis enggan bertanggungjawab, si gadis berdepan dengan dilema. Teruskan kehamilan dan menanggung malu yang teramat sangat atau gugurkan kehamilan dan bergelut dengan rasa bersalah.

          Yang pastinya, mereka yang membuang bayi mengambil jalan mudah, melempar batu, sembunyi tangan. Malangnya, yang dilempar kali ini bukanlah batu tetapi nyawa manusia yang tidak berdosa.

          Kesedaran perlulah diterap di kalangan anak-anak muda kita tentang akibat perlakuan seks yang tidak bertanggungjawab. Malangnya, pendidikan seks masih menjadi sesuatu yang pantang dibicarakan kerana ditakuti akan meningkatkan rasa ingin tahu dan seterusnya mencuba. Justeru, anak-anak muda kita mendapat ‘pendidikan’ seks dari saluran yang tidak dikawal, seperti internet, tv dan media massa lain. Kerana jahil tentang kaedah cegah hamil, kitar haid wanita dan ‘waktu selamat,’ akibatnya, si gadis menjadi hamil dan si jejaka enggan bertanggungjawab atas alasan tidak bersedia, ianya satu kemalangan atau ‘itu bukan anak saya’. Akibat tertekan, malu dan mati akal, si gadis mengambil jalan mudah, membuang darah dagingnya sendiri.

          Benteng kedua adalah ajaran agama. Semua agama di dunia ini membawa manusia kepada jalan kebaikan. Nilai-nilai universal seperti hormat-menghormati, kasih sayang, menjauhi kejahatan dan berbuat baik sesama manusia diamalkan oleh pengikut ajaran agama masing-masing. Anak-anak perlu dipupuk nilai-nilai ini sejak dari kecil lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila mereka melangkah ke alam dewasa, nilai-nilai ini akan menjadi sebahagian daripada pegangan hidup mereka. Ia akan menjadi benteng, menghalang mereka dari terjerumus ke kancah seks bebas, tanpa tanggungjawab, tanpa memikirkan risiko yang bakal ditempuhi.

          Sokongan ahli keluarga serta rakan-rakan juga penting untuk menangani masalah buang bayi ini. Sikap terbuka, sedia mendengar, tidak menghakimi, memaafkan kesalahan dan memberikan peluang kedua akan membuatkan si gadis bersedia untuk berkongsi masalah dan meminta nasihat. Walaupun ianya agak terlambat kerana pada waktu itu si gadis sudah hamil, sekurang-kurangnya, bayi di dalam kandungannya mendapat peluang kedua. Setiap manusia berhak untuk dimaafkan dan mendapat peluang untuk membetulkan hidup mereka. Walaupun perit, ia selalunya pelajaran yang diingati sepanjang hayat.

          Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan dari berbagai sudut untuk menangani penyakit buang bayi ini. Pendidikan, ajaran agama dan sokongan keluarga dan rakan-rakan adalah antara mekanisma yang boleh membendung penyakit ini daripada menular. Yang pastinya, jika kita masih alpa, berdebat dan enggan mengambil tindakan, semakin ramai bayi yang tidak berdosa akan menjadi korban, semakin ramai gadis akan musnah hidupnya dan semakin goyahlah institusi keluarga kita di negara ini. 

No comments:

Post a Comment