Tuesday 28 December 2010

BERUBAHLAH UNTUK BERJAYA

          Dalam satu seminar yang saya hadiri, seorang penceramah menceritakan kisah seekor kala jengking yang hendak menyeberangi sebatang sungai. Ia naik di atas belakang seekor kura-kura setelah berjanji tidak akan menyengatnya. Ketika di tengah sungai, si kala tersebut menyengat kura-kura dan membunuhnya.

          Di akhir cerita, sebelum mati, kura-kura tersebut bertanya kepada si kala ‘Kenapa awak menyengat saya? Bukankah kita berdua akan sama-sama mati di tengah sungai ini?. Jawab si kala ‘Memang benar saya telah berjanji tapi apakan daya, saya tidak dapat melawan sifat semulajadi saya. Saya tidak boleh berubah’  Maka, lemaslah si kala jengking dan sang kura-kura tersebut dibawa arus deras.

          Mungkin kita adalah si kala jengking tersebut, berasa takut untuk berubah demi menyesuaikan diri di dalam persekitaran yang baru. Kita takut berubah kerana ianya tidak selesa, kita perlu berganjak keluar dari zon selesa kita dan belajar kemahiran yang baru. Kita sudah biasa melakukan sesuatu tugas dengan cara kita dan pada masa yang kita tetapkan.

          Justeru, kita memberikan alasan seperti; ‘Saya ni dah tua, otak dah beku nak belajar lagi!’, ‘Saya tak pandailah nak gunakan komputer tu’ dan bermacam-macam alasan lagi. Yang sebenarnya, ia hanyalah alasan semata-mata demi menutup perasaan takut kita sahaja.

          Malangnya, di dalam dunia rata tanpa sempadan hari ini, berubah bukan satu pilihan. Ia adalah kemestian. Kita hanya ada dua pilihan; berubah atau diubah. Kita perlu belajar cara yang baru untuk melakukan sesuatu perkara seperti mendalami kemahiran ICT, belajar bahasa lain seperti bahasa Mandarin atau mempertajamkan kemahiran bertutur di khalayak ramai dan lain-lain lagi.

          Jika kita gagal bertindak, kita terpaksa menerima hakikat yang satu hari nanti, kita tidak akan diperlukan di dalam syarikat dan mungkin dibuang kerja. Kita mungkin dipinggirkan dari kenaikan yang telah lama kita idam-idamkan. Kita kalah dalam persaingan dengan mereka yang lebih muda, bertenaga dan lebih celik IT berbanding dengan kita.  

          Saya pernah menjadi fasilitator program ICT anjuran kerajaan negeri sedikit masa dulu. Dalam satu sesi yang dijalankan di Miri, salah seorang peserta adalah wanita pertengahan umur yang memiliki perniagaan agen pelancongan. Saya dapati dia agak kaku mengendalikan komputer. Apabila saya menghampirinya untuk membantu, saya melihat tangannya menggigil mengendalikan tetikus sambil memandang skrin komputer tersebut. ‘Inilah pertama kali saya memegang sebuah komputer’ ujar beliau.

          Saya amat mengkagumi wanita di atas. Walaupun sudah berumur dan memiliki perniagaan yang berjaya, beliau sanggup keluar dari zon selesanya dan belajar sesuatu yang baru. Beliau sanggup berhadapan dengan ketidakselesaan dan terpaksa belajar daripada orang yang lebih muda daripadanya. 

          Apakah tindakan kita agar tidak tertinggal dalam perubahan yang berlaku terlalu cepat? Saya cadangkan tiga langkah yang boleh diambil. Pertamanya, kita perlu peka kepada perubahan yang berlaku disekeliling kita, terutama yang memberikan kesan kepada diri, kerjaya dan keluarga kita. Contoh perubahan sebegini adalah kemahiran ICT, teknik pengeluaran terbaru atau keperluan bahasa yang baru di dalam kerjaya kita.

          Kita boleh peka terhadap perubahan di sekeliling kita dengan membaca suratkhabar, buku atau majalah, menghadiri sesi latihan, ceramah dan sebagainya. Kita juga boleh melakukan kajian secara peribadi dengan melayari internet untuk mendapatkan maklumat terkini yang ada kaitannya dengan diri dan apa yang kita lakukan.

          Setelah mengetahui perubahan yang boleh memberikan kesan secara langsung kepada diri kita, sekarang kita perlu menilai diri sendiri untuk mengetahui sama ada kita memiliki kemahiran baru tersebut. Misalnya, jika kita adalah seorang jururawat, mungkin ada keperluan untuk menguasai teknik terbaru menjaga pesakit tetapi kita tidak memiliki kemahiran sedemikian. Justeru, kesedaran ini memaksa kita untuk  bertindak segera.

          Dengan mengetahui jurang yang wujud di antara kemahiran baru yang diperlukan dan apa yang kita miliki, langkah terakhir adalah membuat keputusan dan mengambil tindakan untuk mempelajari serta menguasai kemahiran baru ini melalui latihan dan pendidikan. Sekarang ini, banyak institusi di negara kita yang menyediakan latihan dan kemahiran terkini untuk pelbagai keperluan industri dan awam.

          Saya berasa amat gembira terhadap ahli keluarga dan rakan-rakan saya yang walaupun sudah berusia, sanggup mengorbankan masa, wang ringgit dan tenaga untuk meningkatkan kemahiran diri dengan belajar semula di kolej dan universiti. Ramai juga yang telah bergraduat dan mendapat ganjaran yang setimpal seperti kenaikan gaji dan pangkat. Jika mereka tidak berubah dan menyahut cabaran, saya pasti mereka masih berada di takuk lama.

          Dalam dunia hari ini, kita tidak punya pilihan selain berubah. Saya terbaca yang  seorang cerdik pandai pernah berkata ‘Yang tidak berubah di dunia hari ini adalah perubahan yang berlaku di sekeliling kita’. Maksud beliau adalah, segala sesuatu berubah di sekeliling kita. Bezanya, kini perubahan itu berlaku dengan amat pantas. Jika kita alpa dan leka, kita akan ketinggalan.

          Untuk berubah, kita perlu peka kepada perubahan yang berlaku di sekeliling kita, menilai kemahiran dan keupayaan diri untuk berubah dan seterusnya mengambil tindakan. Sememangnya, untuk berubah amatlah tidak selesa kerana kita perlu keluar dari zon selesa, berkorban tenaga, masa dan wang ringgit untuk mempelajari sesuatu yang baru.

          Perlu diingat, semuanya ini mungkin kurang perit berbanding dengan akibatnya jika kita gagal berubah. Kita mungkin seperti si kala jengking di atas, lemas dibawa arus perubahan yang sentiasa mengalir kerana kita berkata kepada diri kita sendiri ‘Saya tidak boleh berubah kerana inilah sifat saya sebenarnya’.

Tuesday 21 December 2010

SABAR ADA MANFAATNYA

       Gara-gara tidak sabar menanti gilirannya ketika berbaris membeli tiket loteri, seorang wanita ‘kehilangan’ RM 55 juta apabila lelaki yang mengambil tempat beliau di belakang berjaya membeli tiket bertuah tersebut. Kejadian ini berlaku di Manila, Filipina, di sebuah kedai yang menjual tiket loteri yang amat popular di negara tersebut.

       “Saya berasa kasihan terhadap wanita tersebut,” ujar lelaki bertuah itu. "Kalaulah dia tidak memotong barisan di hadapan saya, dialah yang akan menjadi jutawan segera, bukannya saya. Saya melihat dia begitu tidak sabar-sabar menunggu di barisan dan apabila dia memotong di hadapan, saya hanya berdiam diri dan membenarkan dia mengambil tempat saya,” tambah lelaki itu.

          Cerita di atas yang saya baca di sebuah akhbar mengingatkan saya tentang bagaimana kehidupan kita di zaman serba moden ini amat mementingkan ‘kecepatan’ untuk melakukan sesuatu perkara. Lihat sajalah barangan yang dijual di pusat membeli belah. Kita ada kopi segera, mee segera, roti canai segera dan bermacam-macam lagi makanan dan minuman yang dilabel dengan perkataan ‘segera’ di hujung namanya.

          Tidak cukup dengan itu, kita disogokkan pula dengan iklan wang segera, kelulusan pinjaman segera, ijazah segera (tanpa perlu bersusah payah pergi ke kuliah dan melakukan tugasan), rawatan segera untuk ‘mengubati rambut botak’ dan lain-lain lagi.

          Semua ini memberikan kita tanggapan bahawa masyarakat kini ‘tergila-gila’ untuk melakukan banyak perkara dalam tempoh sesingkat yang mungkin. Lihat sajalah ketika kita berada di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, penghuninya seakan-akan ‘dikejar hantu’ berlari-lari anak menuju ke destinasi masing-masing.

          Melakukan sesuatu tanpa ada rasa sabar atau inginkan ia berlaku dalam masa yang singkat boleh memberikan tekanan. Baru-baru ini, saya berbicara dengan seorang ahli Persatuan Wartawan di Kuching. Beliau meluahkan perasaannya kepada saya, menceritakan bagaimana beberapa orang rakan seperjuangannya yang telah pergi selama-lamanya pada usia yang sebegitu muda, masih dalam tempoh bertugas.

          “Mungkin beban tugas sebagai wartawan ini memberikan tekanan yang terlampau”, ujar saya melontarkan pendapat.

          “Memang tepat tu Telemachus. Kami sentiasa berkejar ke sana ke mari mencari bahan cerita, terpaksa menepati waktu untuk menyiapkannya. Kadang-kala makan pun tak sempat”  kata rakan saya itu.

          Tekanan yang terlampau akan membuatkan badan kita mudah dihinggapi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan pelbagai penyakit kronik lain.

          Dalam pada itu, kita perlu ingat banyak perkara di dalam hidup ini yang tidak dapat diambil jalan singkat. Ianya tertakluk kepada hukum menabur dan menuai. Seperti petani yang tidak boleh menuai dahulu sebelum menabur, perkara-perkara seperti mendidik anak-anak, mendapatkan pendidikan, membentuk kemahiran berkomunikasi dan menjadi pemimpin yang berkesan; semua ini memerlukan pelaburan dalam bentuk masa yang panjang.

          Ambil contoh untuk menjadi seorang penceramah yang disegani seperti Prof. Dr Fazillah Khamsah misalnya. Ia tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Kemahiran seperti mengolah ucapan kepada bentuk yang mudah diterima dan difahami oleh pendengar, peka kepada isyarat badan dan selesa berinteraksi dengan penonton, kesemuanya memerlukan ribuan jam persiapan dan latihan.

          Dalam pendidikan pun sedemikian rupa. Saya secara peribadi tidak begitu yakin dengan kualiti graduan yang dihasilkan secara ‘ekspres’ oleh sesetengah institusi pendidikan tinggi.

          Satu konsep yang saya pegang dari dahulu lagi ialah pelajar memerlukan masa untuk menerima, memahami dan mengaplikasi ilmu yang disampaikan. Mereka mungkin mendapat keputusan cemerlang kerana menghafal nota dan ‘memuntahkannya’ semula dalam dewan peperiksaan. Apabila berhadapan dengan dunia sebenar yang begitu berbeza dari teori yang mereka pelajari, pelajar-pelajar ini boleh hanyut dan gagal menyumbang sesuatu yang berguna.

          Hidup ini adalah singkat. Ada yang membandingkannya dengan sekuntum bunga yang mekar di waktu pagi dan layu bila matahari terbenam. Apabila kita tidak sabar dan terlalu ingin melakukan sesuatu dalam masa yang pendek, kita akan gagal menghargai saat-saat manis dalam hidup yang datang hanya sekali.

          Saya percaya ramai antara kita ibubapa, kerana ingin menyiapkan kerja di pejabat untuk mengejar waktu, terpaksa mengorbankan majlis harijadi anak, tidak menghadiri hari sukan sekolah dan terpaksa mencipta alasan kenapa kita  terlupa yang hari Ahad lepas, kita telah berjanji untuk membawa anak kita menonton wayang.

          Saat-saat manis sebegini hanya datang sekali seumur hidup, ketika anak-anak kita masih di bawah lindungan ‘sayap’ kita sebagai ibubapa. Jika kita gagal mengambil kesempatan untuk berhenti sejenak, merenung dan menikmatinya, semuanya akan berlalu tanpa kita sedari. Kita akan kehilangan sesuatu yang lebih berharga dari jutaan wang ringgit, iaitu kenangan terindah bersama dengan orang yang kita sayangi.

          Justeru, sikap bersabar perlulah kita amalkan setiap hari di dalam hidup kita. Memang kita perlu akui yang kini, lebih banyak yang diharapkan daripada kita sebagai pelajar, usahawan, pegawai kerajaan dan ibubapa. Jangan jadikan beban tugas dan tanggungjawab kita sebagai alasan untuk kita tidak berhenti sejenak dan menilai apa yang sebenarnya kita kejari.

          Jangan oleh kerana kita inginkan segalanya ‘segera’, hidup kita seperti seorang yang gigih mendaki tangga untuk mencapai kejayaan yang dia inginkan hanya untuk menyedari, apabila sampai ke puncak, tangga itu bersandar di dinding yang salah. Sesungguhnya, bersabar itu ada manfaatnya.  

Friday 17 December 2010

BELAJAR DARI PENGALAMAN

          Hidup adalah satu siri pengalaman yang kita lalui. Pengalaman adalah peristiwa atau kejadian yang kita alami setiap hari sama ada baik atau sebaliknya. Berkenalan dengan kekasih, berkahwin dan menimang cahaya mata adalah antara pengalaman hidup yang positif, meninggalkan kesan yang mendalam dan ingatannya dibawa hingga ke akhir hayat.

          Pengalaman negatif biasanya meninggalkan kesan yang kurang menyenangkan. Kematian orang yang kita kasihi, penceraian, gagal dalam peperiksaan dan hilang pekerjaan adalah kejadian yang kita ingin lupai dengan pantas. Kita juga berharap yang ianya tidak akan berulang pada masa akan datang.

          Kita pernah mendengar bahawa, untuk menjadi lebih matang dalam hidup, kita perlu belajar daripada pengalaman yang kita lalui. Selalunya, pengalaman yang banyak mengajar kita adalah kejadian yang negatif. Semasa ia berlaku, kita berasa kurang senang merasainya walaupun tersingkap di sebaliknya, ada pengajaran yang berharga. Misalannya, walaupun banyak kali gagal, akhirnya kita berjaya. Kegagalan adalah pengalaman pahit. Namun, pengajaran di sebaliknya adalah ‘jangan putus asa’. Nikmatnya adalah kejayaan dalam bidang yang kita idam-idamkan.

          Pengalaman positif juga boleh menyedarkan kita. Umpamanya, setelah berusaha bersungguh-sungguh, kita berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan. Dengan itu, kita akan menghargai nilai bekerja kuat dan tidak mengenal putus asa untuk berjaya.  

          Untuk belajar dari pengalaman, kita perlu bertanyakan tiga soalan iaitu; Apakah yang telah saya lakukan dengan jayanya? Apakah yang boleh saya perbaiki? Apa yang dapat saya pelajari daripadanya? Soalan-soalan ini membolehkan kita menimba pengajaran dari pengalaman secara teratur. Ia memudahkan kita untuk mengingatinya di masa akan datang.

          Soalan pertama iaitu ‘Apakah yang telah saya lakukan dengan jayanya?’ membolehkan kita menganalisa perkara positif yang berlaku. Secara peribadi, selepas kelas, kuliah atau seminar, saya akan bertanyakan soalan ini dan menyenaraikan perkara positif yang telah saya lakukan. Misalannya, saya dapat menarik perhatian pendengar, tidak melebihi masa yang ditetapkan dan berjaya menghabiskan pengajaran seperti yang dirancang.

          Selain penting untuk memotivasikan diri sendiri, soalan di atas membolehkan kita fokus untuk melakukan sesuatu tugas dengan baik. Ia mengingatkan kita kepada kejayaan-kejayaan kecil kita dalam melakukan sesuatu perkara. Lama-kelamaan, kejayaan kecil ini membawa kita kepada kejayaan yang lebih besar di dalam hidup.

          Tidak semua yang kita lakukan sempurna dan bebas dari kesilapan. Dengan menanyakan diri ‘Apakah yang dapat saya perbaiki?, kita mengenalpasti kesilapan atau kekurangan dan melakukan sesuatu untuk memperbetulkannya. Dalam kelas misalnya, ada harinya saya perlu meningkatkan lagi kawalan ke atas pelajar-pelajar agar mereka lebih menumpukan perhatian. Saya juga perlu melibatkan, dengan lebih lagi, pelajar yag agak pendiam untuk sama-sama dalam perbincangan.

          Jika wujud situasi yang sama di masa hadapan, dengan menanyakan soalan kedua ini dan mengenalpasti kesilapan serta kekurangan, sedikit demi sedikit, kita memperbetulkan diri. Dengan berlalunya masa, banyak kesilapan yang kita lakukan dan kekurangan yang kita ada akan dapat dielak dan diperkuatkan. Kita menjadi insan yang sentiasa memajukan diri.

          Soalan terakhir iaitu ‘Apakah yang dapat saya pelajari dari semua ini?’  lebih merupakan kesimpulan kepada apa yang telah kita lalui dan pelajari. Ia merumuskan pengajaran yang kita terima. Dalam kelas misalnya, daripada kesilapan saya tidak mengawal kelas dengan baik, saya mempelajari bahawa untuk menyampaikan pengajaran dengan baik dan berkesan, saya perlu mengawal tumpuan pelajar-pelajar saya. Justeru, dalam kelas akan datang, saya akan mengambil ikhtibar dalam menjawab soalan ketiga ini dan bersedia dengan kaedah untuk memastikan tumpuan pelajar terhadap pengajaran saya tidak terjejas.

          Dengan berlalunya masa, pengalaman sepatutnya menjadikan kita lebih matang, tabah dan cekal menghadapi hari-hari mendatang. Kita lebih matang dalam tindakbalas terhadap sesuatu situasi, sama ada baik atau sebaliknya. Kita lebih tabah kerana fikiran kita lebih terbuka dan tidak cepat melatah. Kita lebih cekal kerana kita akan melihat bahawa, dalam setiap pengalaman, terdapat peluang untuk kita belajar sesuatu yang berguna daripadanya.

          Pengalaman adalah guru yang terbaik. Jadikan amalan untuk bertanyakan tiga soalan di atas setiap hari. Catatkan agar dapat dirujuk bila memerlukannya. Nescaya, kita tidak akan terlepas peluang dan membiarkan hidup kita berlalu tanpa mengecapi sesuatu yang berharga iaitu pengajaran dari pengalaman yang kita alami.

Monday 13 December 2010

PENYAKIT BUANG ANAK

          Terdapat pelbagai jenis penyakit seperti sakit tua, darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Yang lain adalah sakit mental atau gila yang berpunca daripada masalah kecacatan otak yang berasal dari keturunan dan tekanan perasaan yang terlampau.

          Individu yang membuang bayi sendiri mengalami penyakit mental yang serius, setidak-tidaknya semasa ia melakukan perkara terkutuk tersebut. Individu yang normal tidak akan sanggup melakukan perbuatan berdosa yang sedemikian dahsyat. Apakah penjelasan waras yang dapat menerangkan perlakuan individu yang sanggup membuang darah daging sendiri, makhluk yang tidak berdosa, lemah dan perlukan perlindungan?

          Kebelakangan ini, penyakit buang anak ini semakin menular di kalangan rakyat kita. Saban hari kita dengar dan baca, kisah bayi mati ditemui di dalam tong sampah, terapung-apung di sungai, dimamah anjing, dilempar dari kondominium dan sebagainya.

          Masa bercinta adalah masa yang paling indah. Cinta telah menjadi inspirasi ribuan lagu, novel, drama dan cerita sejak zaman berzaman. Klimaks cinta adalah perkahwinan yang menghalalkan hubungan seks pasangan kekasih sesuai dengan hukum agama dan dipersetujui oleh kedua-dua keluarga.

          Masalah timbul bila perasaan cinta ini bercampur baur dengan nafsu sehingga kedua-duanya tidak dapat dibezakan. Di dunia kecil tanpa sempadan kini, kita didedahkan dengan nilai-nilai Barat yang negatif, mesej yang mengagung-agungkan seks bebas tanpa komitmen, tanpa tanggungjawab, hanya untuk keseronokan semata-mata. Perlakuan, ‘beranak dahulu barulah kahwin’ seperti yang dilakukan oleh bintang-bintang Hollywood seolah-olah sesuatu yang sudah halal di sisi agama dan menjadi kebiasaan.

          Apabila perlakuan seks sebegini menjadi amalan, si gadis hamil dan si jejaka yang ‘menghamilkan’ si gadis enggan bertanggungjawab, si gadis berdepan dengan dilema. Teruskan kehamilan dan menanggung malu yang teramat sangat atau gugurkan kehamilan dan bergelut dengan rasa bersalah.

          Yang pastinya, mereka yang membuang bayi mengambil jalan mudah, melempar batu, sembunyi tangan. Malangnya, yang dilempar kali ini bukanlah batu tetapi nyawa manusia yang tidak berdosa.

          Kesedaran perlulah diterap di kalangan anak-anak muda kita tentang akibat perlakuan seks yang tidak bertanggungjawab. Malangnya, pendidikan seks masih menjadi sesuatu yang pantang dibicarakan kerana ditakuti akan meningkatkan rasa ingin tahu dan seterusnya mencuba. Justeru, anak-anak muda kita mendapat ‘pendidikan’ seks dari saluran yang tidak dikawal, seperti internet, tv dan media massa lain. Kerana jahil tentang kaedah cegah hamil, kitar haid wanita dan ‘waktu selamat,’ akibatnya, si gadis menjadi hamil dan si jejaka enggan bertanggungjawab atas alasan tidak bersedia, ianya satu kemalangan atau ‘itu bukan anak saya’. Akibat tertekan, malu dan mati akal, si gadis mengambil jalan mudah, membuang darah dagingnya sendiri.

          Benteng kedua adalah ajaran agama. Semua agama di dunia ini membawa manusia kepada jalan kebaikan. Nilai-nilai universal seperti hormat-menghormati, kasih sayang, menjauhi kejahatan dan berbuat baik sesama manusia diamalkan oleh pengikut ajaran agama masing-masing. Anak-anak perlu dipupuk nilai-nilai ini sejak dari kecil lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila mereka melangkah ke alam dewasa, nilai-nilai ini akan menjadi sebahagian daripada pegangan hidup mereka. Ia akan menjadi benteng, menghalang mereka dari terjerumus ke kancah seks bebas, tanpa tanggungjawab, tanpa memikirkan risiko yang bakal ditempuhi.

          Sokongan ahli keluarga serta rakan-rakan juga penting untuk menangani masalah buang bayi ini. Sikap terbuka, sedia mendengar, tidak menghakimi, memaafkan kesalahan dan memberikan peluang kedua akan membuatkan si gadis bersedia untuk berkongsi masalah dan meminta nasihat. Walaupun ianya agak terlambat kerana pada waktu itu si gadis sudah hamil, sekurang-kurangnya, bayi di dalam kandungannya mendapat peluang kedua. Setiap manusia berhak untuk dimaafkan dan mendapat peluang untuk membetulkan hidup mereka. Walaupun perit, ia selalunya pelajaran yang diingati sepanjang hayat.

          Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan dari berbagai sudut untuk menangani penyakit buang bayi ini. Pendidikan, ajaran agama dan sokongan keluarga dan rakan-rakan adalah antara mekanisma yang boleh membendung penyakit ini daripada menular. Yang pastinya, jika kita masih alpa, berdebat dan enggan mengambil tindakan, semakin ramai bayi yang tidak berdosa akan menjadi korban, semakin ramai gadis akan musnah hidupnya dan semakin goyahlah institusi keluarga kita di negara ini. 

Saturday 11 December 2010

NIKMATNYA MEMBACA

          Saya terhutang budi kepada guru Bahasa Inggeris yang mengajar saya sewaktu di sekolah menengah dahulu. Dua puluh enam tahun yang lalu, Puan Yap telah menyemai satu tabiat yang masih saya amalkan sehingga ke hari ini. ‘If you want to improve your English, you have three choices which are; to read, read and read’ ujar Puan Yap.
          
         Bermula di tingkatan satu, saya bersama rakan-rakan dipaksa membaca satu buku setiap satu atau dua minggu. Dipaksa kerana kami tidak punya sebarang pilihan. Membaca atau pergi mengadap Penolong Kanan yang amat kami geruni. Selain daripada itu, kami perlu menghantar laporan mengenai buku yang dibaca dan menjawab soalan-soalan yang terdapat di kulit akhir buku berkenaan.
          
          Secara purata, saya membaca tiga hingga empat buku sebulan atau kira-kira dua puluh hingga tiga puluh buku setahun. Disiplin ini diteruskan selama lima tahun sehinggalah kami tamat tingkatan lima. ‘39 Steps, Sherlock Holmes, Robinson Crusoe, Three Muskateers, The Man in The Iron Mask, Zorro, Dracula dan Frankenstein’ adalah antara teman setia saya dan rakan-rakan sebelum tidur atau ketika waktu pertukaran kelas.

          Pada mulanya, saya berasa bosan membaca buku-buku tersebut kerana ianya berbahasa Inggeris. Latarbelakang saya sebagai murid sekolah rendah di kampung menyebabkan penguasaan Bahasa Inggeris saya lemah dan saya berasa kurang yakin untuk bersaing dengan rakan-rakan. Mereka adalah pelajar cemerlang yang datang dari berbagai pelusuk negara untuk sama-sama berkampung di sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan.

          Namun, lama kelamaan, saya dapati bila saya membaca, imaginasi saya bertambah aktif. Kerapkali, saya dapat ‘melihat’ apa yang saya baca seolah-olah saya menonton wayang. Suasana, watak utama, jalan cerita, emosi dan dialog bermain-main di minda saya. Semuanya tampak jelas. Tanpa saya sedari, kerana kerap membaca, penguasaan Bahasa Inggeris saya bertambah baik dan saya lebih memahami apa yang saya baca. Kerana itulah, saya seolah-olah melihat wayang gambar bila saya membaca buku-buku saya.

          Buku adalah pintu kepada pengetahuan. Ia adalah jalan untuk menyelami minda, idea, motivasi, falsafah dan nilai-nilai yang dipegang oleh pengarangnya. Dalam ajaran Islam, ayat pertama yang diturunkan dari syurga adalah perintah yang berbunyi, ‘Bacalah’. Melalui buku, kita dapat memahami rahsia alam semesta, petua kejayaan, kisah hidup pemimpin agung dan bermacam-macam ilmu yang lain. Ilmu yang terkandung di dalam buku sama banyaknya dengan pasir di pantai, tidak terkira dan tergarap oleh minda kita sepenuhnya.        

          Minggu lepas, sewaktu kuliah, sambil bercakap tentang buku terbaru yang dibaca oleh saya dan mengedarkannya kepada pelajar-pelajar, saya telah memberikan cabaran kepada mereka. Pelajar-pelajar saya berada di universiti, berumur awal 20an dan berasal dari pelbagai pelusuk tanahair.

          Saya cabar anda sekelian untuk menghabiskan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk membaca’ ujar saya.

          Bacalah buku-buku yang berkualiti, yang ditulis oleh mereka yang berjaya’ tambah saya lagi.

          Salah satu tabiat masyarakat yang maju ialah sayangnya mereka terhadap ilmu dan ilmu hanya boleh diperolehi dengan membaca. Percayalah, jika anda menjadikan membaca sebagai satu yang wajib dilakukan sama seperti makan, mandi, memakai pakaian dan sembahyang, anda akan menjadi individu yang matang pemikirannya, mampu melihat perkara dari pelbagai perspektif dan akan mempunyai lebih peluang untuk berjaya’ celoteh saya kepada pelajar-pelajar saya.

          Saya rasa, tabiat yang ditanam oleh Puan Yap terlalu berharga untuk saya simpan. Saya ingin menjadi seperti beliau yang telah memberikan saya pelita untuk menerangi jalan saya. Saya berharap yang saya akan berjaya membangkitkan minat membaca di kalangan pelajar-pelajar saya. Jika tidak semua, memadailah segelintir dari mereka akan mengamalkan tabiat membaca dan menurunkannya kepada generasi yang seterusnya.

          Terima kasih Puan Yap kerana memberikan saya permata yang amat berharga iaitu ilmu yang saya perolehi dari buku-buku yang saya baca.

22 Okt 2010

Monday 6 December 2010

KAHWIN DI BANGKU SEKOLAH?

          Sesuatu yang menarik telah berlaku sewaktu saya memberikan syarahan kepada para pelajar saya sedikit masa lalu. Seperti amalan biasa saya sebelum ini, saya selalu bertanya dan membincangkan isu-isu semasa yang menarik di media masa kepada para pelajar saya.

          Salah satu isu yang hangat pada minggu ini adalah peraturan yang telah diluluskan di salah satu negeri di Semenanjung yang membenarkan pelajar sekolah perempuan berumur 16 tahun dan pelajar lelaki berumur 18 tahun ke bawah untuk berkahwin. Saya masih ingat bagaimana isu ini hangat diperdebatkan oleh deejay sebuah radio swasta sehingga mereka meminta pandangan daripada para pendengar.

          Pelajar saya adalah remaja yang berumur di antara 18 hingga 23 tahun, datang dari pelbagai pelusuk negara dan sedang belajar di universiti dalam pelbagai jurusan. Apabila saya mengajukan isu ini kepada mereka, kesemua mereka yang majoritinya pelajar perempuan, 50 orang ramainya, tidak bersetuju sama sekali terhadap peraturan baru ini. Lantas saya bertanya mengapa.

          Alasan yang mereka berikan adalah, pada usia sebegitu muda, rata-rata pelajar sekolah terbabit masih belum matang baik dari segi pemikiran, apatah lagi untuk memahami konsep berumahtangga dan mendidik anak-anak.

          Ada pula yang mengatakan, memandangkan pelajar ini masih berada di bangku sekolah, mereka sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

          ‘Bercinta, berumahtangga dan mendidik anak-anak bukanlah keutamaan pada usia yang masih mentah’, tambah pelajar saya lagi.

            ‘Ada yang berumur 30an tapi belum lagi bertemu jodoh’, ujar seorang pelajar perempuan.

          ‘Saya rasa, mencari pasangan hidup ni, bukan sesuatu yang main-main. Pada usia muda sebegini, apa yang sebenarnya dikatakan perasaan cinta tu, mungkin hanya cinta monyet sahaja’, sambung beliau.

          ‘Mak bapak yang menyara mereka, bagaimana mereka nak berkeluarga,’ kata seorang pelajar lelaki. ‘Ini akan membebankan ibubapa mereka,’ sampuk kawannya yang di sebelah.

          ‘Tapi datuk nenek dan ibubapa kita dulu, ramai juga yang berkahwin pada usia muda’ protes saya.

          ‘Tapi Sir, zaman dulu lain. Sekarang ni keadaan semakin kompetitif, persaingan semakin hebat. Kalau kita tidak fokus dalam pelajaran dan menimba ilmu ketika usia masih muda, kita akan ketinggalan,’ jawab pelajar perempuan yang berasal dari Kelantan.

          Sesi perbincangan hangat kami terpaksa dipendekkan kerana saya perlu menyambung syarahan. Namun, ramai yang masih memperkatakannya bila mereka keluar dari dewan kuliah.

          Apabila saya merenungkan kembali apa yang kami bincangkan, saya berasa lega dan terharu. Saya berasa lega kerana, di sebalik publisiti negatif yang sering dikaitkan dengan remaja kita pada hari ini, ramai remaja kita mempunyai pandangan yang positif terhadap kehidupan dan matang dalam pemikiran  mereka. Mereka sedar akan tugas dan tanggungjawab mereka pada usia yang masih muda.

          Saya juga terharu kerana diberi peluang bertemu, berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka. Mereka adalah sinar harapan, mewakili generasi mereka untuk melangkah lebih jauh lagi dan berjaya dengan cemerlang di dalam bidang yang mereka bakal ceburi.

          Saya berasa penuh yakin, bangsa, agama dan negara kita akan melangkah maju ke hadapan kerana kita mempunyai lapisan pemimpin yang, walaupun pada usia muda, mampu melihat sesuatu isu secara matang dan sedar serta fokus pada tanggungjawab yang dipikul.Pelajar-pelajar saya telah menyedarkan saya akan hal ini dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup mereka yang perjalanannya masih jauh dan terbentang luas.

5 Okt 2010

Tuesday 30 November 2010

BAGAIMANA KEKAL POSITIF

          Di zaman serba canggih kini, kita mengalami banyak tekanan. Kursus dan seminar bagaimana menguruskan tekanan di rumah dan tempat kerja mendapat permintaan yang tinggi. Ramai individu yang melabelkan diri mereka sebagai pakar motivasi mendapat pendapatan yang lumayan mengajar kita bagaimana untuk kekal positif dalam hidup.

          Kita mengalami tekanan di mana sahaja kita berada; di tempat kerja, di rumah dan di komuniti yang kita diami. Peranan individu yang berbagai seperti menjadi seorang anak, ibu dan guru misalannya, menyebabkan kita mengimbangi banyak tanggungjawab pada satu-satu masa. Dengan hanya 24 jam dalam sehari, keluhan seperti ‘Alangkah baiknya kalau ada 48 jam dalam sehari’, ‘Alamak, tiada masa lah ’ dan ’Maaf saya terlalu sibuk’ amat biasa kita dengar.

          Tekanan wujud bila berlaku jurang antara apa yang kita ingini dengan keadaan yang sebenarnya. Seorang ibu yang ingin menumpukan lebih masa bersama anaknya berasa tertekan jika majikannya memerlukan beliau menyiapkan tugas di luar waktu pejabat.

          Tekanan yang terlampau menyebabkan kita berasa letih mental dan fizikal serta kurang bermaya. Kita hilang motivasi untuk melakukan sesuatu tugas. Kerja kita menjadi satu rutin yang tidak bermakna. Dalam keadaan ekstrem, kita hilang arah dan mula mencari keseronokan untuk mengurangkan tekanan. Jika tidak ditangani, ketagihan arak, judi dan sebagainya akan menghujani hidup kita. Akhir sekali, keluarga, kerjaya dan diri kita akan hancur dan kita hilang segala-galanya.

          Untuk berjaya, baik dalam kerjaya atau rumahtangga, kita mesti bijak mengekalkan motivasi diri dan bersikap positif. Individu yang perjaya seperti mereka yang terlibat dalam perniagaan jualan langsung, pemasaran atau pemilik perniagaan mempunyai kemahiran untuk memotivasikan diri mereka dalam apa jua keadaan. Mereka mampu melihat sinar mentari di sebalik awan yang gelap.

          Mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan seperti sembahyang, berzikir, membaca kitab dan buku-buku agama memberikan kita kekuatan mental untuk menangani tekanan dan kekal positif. Kita sedar bahawa banyak perkara di dalam hidup ini adalah di luar kawalan kita. Kita akan lebih realistik. Cabaran, masalah dan tragedi akan dilihat dari aspek positif, satu cara untuk Tuhan menguji umatNya agar tabah menghadapi liku-liku hidup. Ia juga akan dilihat sebagai peluang kita untuk belajar sesuatu, mendapat iktibar di sebalik peristiwa yang kurang menyenangkan seperti hilang pekerjaan, kecacatan dan kematian mereka yang kita sayangi.

          Bergaul dengan mereka yang sentiasa berfikiran positif membangkitkan motivasi kita untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Menurut pakar, kita adalah serupa dengan rakan taulan yang rapat dengan kita. Mereka mempengaruhi kita secara tidak langsung. Rakan yang positif memberikan kita perangsang, kata-kata galakan dan memotivasikan kita untuk berjaya. Mereka memberikan pandangan dan pendapat tentang bagaimana mengatasi masalah dan cabaran, bukannya memberikan kita gambaran negatif dan memburuk-burukkan lagi keadaan.

          Oleh itu, kita perlu bijak memilih rakan. Elakkan bergaul dengan mereka yang toksik iaitu yang selalu mengucapkan kata-kata negatif, menyalahkan keadaan dan orang lain serta membesar-besarkan masalah. Jika tidak dapat dielakkan, kurangkan masa kita bersama dengan mereka. Hampiri rakan kita yang positif. Aturkan pertemuan dalam kumpulan kecil pada selang waktu tertentu untuk saling mengalakan antara satu sama lain. Salah satu rahsia jutawan yang berjaya adalah mereka mempunyai kumpulan yang di namakan ‘mastermind group’ untuk saling memdorong selain memberikan pandangan dan cadangan terhadap masalah yang dihadapi ahli-ahli dalam kumpulan.

          Membaca membuka minda kita kepada kisah kejayaan mereka yang menghadapi tragedi hidup, yang hilang segala-galanya, namun mampu bangkit untuk cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi. Ratusan buku tentang kisah kejayaan dijual di pasaran. Dapatkannya dan bina koleksi peribadi sebaga rujukan. Bila kita berasa murung, bacalah buku-buku tersebut. Hayati isi kandungan buku tersebut dan amalkan petua yang dikongsi oleh penulisnya di dalam hidup kita.

          Amalkan teknik visualisasi dan percakapan positif setiap hari. Teknik visualisasi melibatkan kita mengambarkan di dalam fikiran kita yang kita sudah mencapai dan sedang menikmati apa yang kita inginkan. Kerjaya idaman, pasangan yang menyayangi dan memahami, rumah yang kita inginkan serta kereta impian adalah antara perkara yang boleh digunakan di dalam teknik ini. Lakukannya pada waktu awal pagi atau sebelum tidur. Gambar dan rasakan semuanya di dalam fikiran kita. Rasai emosi positif yang mengalir di badan kita pada waktu itu.

          Saya hebat, saya bijak, saya mampu membuat yang terbaik dan saya akan berjaya’ adalah antara kata-kata yang diucapkan ketika melakukan percakapan positif. Lakukannya di hadapan cermin ketika bersendirian setiap hari. Pada mulanya, kita mungkin berasa kurang selesa kerana kata-kata tersebut seperti meninggikan diri. Namun, ianya penting kerana bila diucapkan berkali-kali, minda separa sedar kita akan menyimpannya di dalam memori jangka panjang. Bila kita menghadapi masalah dan cabaran, otak kita akan meningatkan kita tentang kata-kata positif yang selalu kita ucapkan dan kita akan berasa lebih bersemangat dan teruja.

          Dalam dunia kecil tanpa sempadan kini, kita tidak punya pilihan selain menguruskan diri untuk sentiasa rasa bermotivasi dan positif. Jika tidak, kita akan gagal mencapai potensi sebenar diri kita, berjaya dalam kerjaya dan rumahtangga dan menjalani hidup yang berkualiti. Cabaran yang kita hadapi setiap hari tidak akan lesap begitu sahaja. Malahan ianya semakin bertambah. Beramal ibadah, bergaul dengan rakan yang positif, membaca buku-buku motivasi dan mengamalkan teknik visualisasi serta percakapan positif dapat membantu kita untuk mengekalkan tahap motivasi dan terus berfikiran positif. Sama seperti emas yang ditulinkan oleh api, masalah, cabaran dan dugaan akan memurnikan kita. Ianya tidak akan melemahkan kita sebaliknya menjadikan kita lebih tekun, tabah dan matang dalam menjalani liku-liku hidup.

23 Sept 2010