Monday 6 December 2010

KAHWIN DI BANGKU SEKOLAH?

          Sesuatu yang menarik telah berlaku sewaktu saya memberikan syarahan kepada para pelajar saya sedikit masa lalu. Seperti amalan biasa saya sebelum ini, saya selalu bertanya dan membincangkan isu-isu semasa yang menarik di media masa kepada para pelajar saya.

          Salah satu isu yang hangat pada minggu ini adalah peraturan yang telah diluluskan di salah satu negeri di Semenanjung yang membenarkan pelajar sekolah perempuan berumur 16 tahun dan pelajar lelaki berumur 18 tahun ke bawah untuk berkahwin. Saya masih ingat bagaimana isu ini hangat diperdebatkan oleh deejay sebuah radio swasta sehingga mereka meminta pandangan daripada para pendengar.

          Pelajar saya adalah remaja yang berumur di antara 18 hingga 23 tahun, datang dari pelbagai pelusuk negara dan sedang belajar di universiti dalam pelbagai jurusan. Apabila saya mengajukan isu ini kepada mereka, kesemua mereka yang majoritinya pelajar perempuan, 50 orang ramainya, tidak bersetuju sama sekali terhadap peraturan baru ini. Lantas saya bertanya mengapa.

          Alasan yang mereka berikan adalah, pada usia sebegitu muda, rata-rata pelajar sekolah terbabit masih belum matang baik dari segi pemikiran, apatah lagi untuk memahami konsep berumahtangga dan mendidik anak-anak.

          Ada pula yang mengatakan, memandangkan pelajar ini masih berada di bangku sekolah, mereka sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

          ‘Bercinta, berumahtangga dan mendidik anak-anak bukanlah keutamaan pada usia yang masih mentah’, tambah pelajar saya lagi.

            ‘Ada yang berumur 30an tapi belum lagi bertemu jodoh’, ujar seorang pelajar perempuan.

          ‘Saya rasa, mencari pasangan hidup ni, bukan sesuatu yang main-main. Pada usia muda sebegini, apa yang sebenarnya dikatakan perasaan cinta tu, mungkin hanya cinta monyet sahaja’, sambung beliau.

          ‘Mak bapak yang menyara mereka, bagaimana mereka nak berkeluarga,’ kata seorang pelajar lelaki. ‘Ini akan membebankan ibubapa mereka,’ sampuk kawannya yang di sebelah.

          ‘Tapi datuk nenek dan ibubapa kita dulu, ramai juga yang berkahwin pada usia muda’ protes saya.

          ‘Tapi Sir, zaman dulu lain. Sekarang ni keadaan semakin kompetitif, persaingan semakin hebat. Kalau kita tidak fokus dalam pelajaran dan menimba ilmu ketika usia masih muda, kita akan ketinggalan,’ jawab pelajar perempuan yang berasal dari Kelantan.

          Sesi perbincangan hangat kami terpaksa dipendekkan kerana saya perlu menyambung syarahan. Namun, ramai yang masih memperkatakannya bila mereka keluar dari dewan kuliah.

          Apabila saya merenungkan kembali apa yang kami bincangkan, saya berasa lega dan terharu. Saya berasa lega kerana, di sebalik publisiti negatif yang sering dikaitkan dengan remaja kita pada hari ini, ramai remaja kita mempunyai pandangan yang positif terhadap kehidupan dan matang dalam pemikiran  mereka. Mereka sedar akan tugas dan tanggungjawab mereka pada usia yang masih muda.

          Saya juga terharu kerana diberi peluang bertemu, berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka. Mereka adalah sinar harapan, mewakili generasi mereka untuk melangkah lebih jauh lagi dan berjaya dengan cemerlang di dalam bidang yang mereka bakal ceburi.

          Saya berasa penuh yakin, bangsa, agama dan negara kita akan melangkah maju ke hadapan kerana kita mempunyai lapisan pemimpin yang, walaupun pada usia muda, mampu melihat sesuatu isu secara matang dan sedar serta fokus pada tanggungjawab yang dipikul.Pelajar-pelajar saya telah menyedarkan saya akan hal ini dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup mereka yang perjalanannya masih jauh dan terbentang luas.

5 Okt 2010

No comments:

Post a Comment