Tuesday 28 December 2010

BERUBAHLAH UNTUK BERJAYA

          Dalam satu seminar yang saya hadiri, seorang penceramah menceritakan kisah seekor kala jengking yang hendak menyeberangi sebatang sungai. Ia naik di atas belakang seekor kura-kura setelah berjanji tidak akan menyengatnya. Ketika di tengah sungai, si kala tersebut menyengat kura-kura dan membunuhnya.

          Di akhir cerita, sebelum mati, kura-kura tersebut bertanya kepada si kala ‘Kenapa awak menyengat saya? Bukankah kita berdua akan sama-sama mati di tengah sungai ini?. Jawab si kala ‘Memang benar saya telah berjanji tapi apakan daya, saya tidak dapat melawan sifat semulajadi saya. Saya tidak boleh berubah’  Maka, lemaslah si kala jengking dan sang kura-kura tersebut dibawa arus deras.

          Mungkin kita adalah si kala jengking tersebut, berasa takut untuk berubah demi menyesuaikan diri di dalam persekitaran yang baru. Kita takut berubah kerana ianya tidak selesa, kita perlu berganjak keluar dari zon selesa kita dan belajar kemahiran yang baru. Kita sudah biasa melakukan sesuatu tugas dengan cara kita dan pada masa yang kita tetapkan.

          Justeru, kita memberikan alasan seperti; ‘Saya ni dah tua, otak dah beku nak belajar lagi!’, ‘Saya tak pandailah nak gunakan komputer tu’ dan bermacam-macam alasan lagi. Yang sebenarnya, ia hanyalah alasan semata-mata demi menutup perasaan takut kita sahaja.

          Malangnya, di dalam dunia rata tanpa sempadan hari ini, berubah bukan satu pilihan. Ia adalah kemestian. Kita hanya ada dua pilihan; berubah atau diubah. Kita perlu belajar cara yang baru untuk melakukan sesuatu perkara seperti mendalami kemahiran ICT, belajar bahasa lain seperti bahasa Mandarin atau mempertajamkan kemahiran bertutur di khalayak ramai dan lain-lain lagi.

          Jika kita gagal bertindak, kita terpaksa menerima hakikat yang satu hari nanti, kita tidak akan diperlukan di dalam syarikat dan mungkin dibuang kerja. Kita mungkin dipinggirkan dari kenaikan yang telah lama kita idam-idamkan. Kita kalah dalam persaingan dengan mereka yang lebih muda, bertenaga dan lebih celik IT berbanding dengan kita.  

          Saya pernah menjadi fasilitator program ICT anjuran kerajaan negeri sedikit masa dulu. Dalam satu sesi yang dijalankan di Miri, salah seorang peserta adalah wanita pertengahan umur yang memiliki perniagaan agen pelancongan. Saya dapati dia agak kaku mengendalikan komputer. Apabila saya menghampirinya untuk membantu, saya melihat tangannya menggigil mengendalikan tetikus sambil memandang skrin komputer tersebut. ‘Inilah pertama kali saya memegang sebuah komputer’ ujar beliau.

          Saya amat mengkagumi wanita di atas. Walaupun sudah berumur dan memiliki perniagaan yang berjaya, beliau sanggup keluar dari zon selesanya dan belajar sesuatu yang baru. Beliau sanggup berhadapan dengan ketidakselesaan dan terpaksa belajar daripada orang yang lebih muda daripadanya. 

          Apakah tindakan kita agar tidak tertinggal dalam perubahan yang berlaku terlalu cepat? Saya cadangkan tiga langkah yang boleh diambil. Pertamanya, kita perlu peka kepada perubahan yang berlaku disekeliling kita, terutama yang memberikan kesan kepada diri, kerjaya dan keluarga kita. Contoh perubahan sebegini adalah kemahiran ICT, teknik pengeluaran terbaru atau keperluan bahasa yang baru di dalam kerjaya kita.

          Kita boleh peka terhadap perubahan di sekeliling kita dengan membaca suratkhabar, buku atau majalah, menghadiri sesi latihan, ceramah dan sebagainya. Kita juga boleh melakukan kajian secara peribadi dengan melayari internet untuk mendapatkan maklumat terkini yang ada kaitannya dengan diri dan apa yang kita lakukan.

          Setelah mengetahui perubahan yang boleh memberikan kesan secara langsung kepada diri kita, sekarang kita perlu menilai diri sendiri untuk mengetahui sama ada kita memiliki kemahiran baru tersebut. Misalnya, jika kita adalah seorang jururawat, mungkin ada keperluan untuk menguasai teknik terbaru menjaga pesakit tetapi kita tidak memiliki kemahiran sedemikian. Justeru, kesedaran ini memaksa kita untuk  bertindak segera.

          Dengan mengetahui jurang yang wujud di antara kemahiran baru yang diperlukan dan apa yang kita miliki, langkah terakhir adalah membuat keputusan dan mengambil tindakan untuk mempelajari serta menguasai kemahiran baru ini melalui latihan dan pendidikan. Sekarang ini, banyak institusi di negara kita yang menyediakan latihan dan kemahiran terkini untuk pelbagai keperluan industri dan awam.

          Saya berasa amat gembira terhadap ahli keluarga dan rakan-rakan saya yang walaupun sudah berusia, sanggup mengorbankan masa, wang ringgit dan tenaga untuk meningkatkan kemahiran diri dengan belajar semula di kolej dan universiti. Ramai juga yang telah bergraduat dan mendapat ganjaran yang setimpal seperti kenaikan gaji dan pangkat. Jika mereka tidak berubah dan menyahut cabaran, saya pasti mereka masih berada di takuk lama.

          Dalam dunia hari ini, kita tidak punya pilihan selain berubah. Saya terbaca yang  seorang cerdik pandai pernah berkata ‘Yang tidak berubah di dunia hari ini adalah perubahan yang berlaku di sekeliling kita’. Maksud beliau adalah, segala sesuatu berubah di sekeliling kita. Bezanya, kini perubahan itu berlaku dengan amat pantas. Jika kita alpa dan leka, kita akan ketinggalan.

          Untuk berubah, kita perlu peka kepada perubahan yang berlaku di sekeliling kita, menilai kemahiran dan keupayaan diri untuk berubah dan seterusnya mengambil tindakan. Sememangnya, untuk berubah amatlah tidak selesa kerana kita perlu keluar dari zon selesa, berkorban tenaga, masa dan wang ringgit untuk mempelajari sesuatu yang baru.

          Perlu diingat, semuanya ini mungkin kurang perit berbanding dengan akibatnya jika kita gagal berubah. Kita mungkin seperti si kala jengking di atas, lemas dibawa arus perubahan yang sentiasa mengalir kerana kita berkata kepada diri kita sendiri ‘Saya tidak boleh berubah kerana inilah sifat saya sebenarnya’.

No comments:

Post a Comment