Kawan saya pernah berkata ‘Tuhan menciptakan kita dua telinga dan satu mulut supaya kita lebih mendengar dan kurang bercakap’. Menurut pakar, kita mengucapkan antara 8 ribu hingga 10 ribu perkataan setiap hari. Adakah kita benar-benar memahami mesej yang disampaikan kepada kita?
Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda tidak sabar- sabar untuk membalas percakapan rakan anda kerana anda ada cerita yang hampir serupa tetapi lebih menarik? Atau anda berbual-bual dengan seseorang yang tidak memandang anda dan bermain-main dengan telefon bimbitnya?
Perlakuan seperti memotong perbualan dan isyarat badan yang tidak menunjukkan minat adalah antara penyebab utama perbualan tidak berlaku dengan baik. Sebenarnya, untuk menikmati perbualan yang berkualiti, tidaklah memerlukan percakapan yang berjela-jela. Yang penting, apabila satu pihak bercakap, yang satu lagi perlu mendengar dengan teliti.
Bagaimanakah kita boleh menjadi pendengar yang baik? Terdapat tiga teknik yang boleh diamalkan setiap kali kita berbual dengan ahli keluarga, sahabat handai dan rakan sepejabat.
Pertamanya, tunjukkan minat dengan apa yang sedang diperbualkan. Ini boleh dilakukan dengan melihat mata atau muka pihak yang satu lagi, menggangukkan kepala, memberikan respon seperti ‘Ok’, ‘teruskan’, ‘saya’, ‘ya’ dan sebagainya. Jika duduk, pastikan posisi menghadap pihak satu lagi sekurang-kurangnya ¾ dari badan. Ini memastikan anda dan rakan anda dapat melihat muka masing-masing. Elakkan daripada bermain dengan telefon bimbit, membaca surat khabar dan apa-apa tindakan yang menunjukkan anda tidak menumpukan perhatian.
Kedua, di pertengahan perbualan, ingat dan ringkaskan isi utama yang disampaikan. Elakkan dari menghakimi atau terikut-ikut dengan emosi rakan anda pada waktu itu. Ini bagi memastikan anda fokus kepada isi perbualan tersebut. Gunakan ungkapan seperti, ‘Jika saya boleh simpulkan, inilah yang telah anda sampaikan tadi……………..’, ‘Jadi, menurut anda, perkara ini tidak boleh dilakukan kerana………………’, ‘Maksudnya adalah………………’. Ulang isi utama perbualan tersebut bagi mendapatkan kefahaman. Jika pemahaman anda kurang tepat, beliau akan memberikan maklumbalas yang anda inginkan.
Bertanyakan soalan ketika berbual juga dapat meningkatkan lagi pemahaman anda akan isi perbualan tersebut. Walaupun begitu, janganlah kelihatan seperti anda cuba memotong perbualan rakan anda. Lakukannya dengan sopan. Antara ungkapan yang boleh digunakan ialah ‘Maafkan saya, tapi, tadi saudara mengatakan………….’, ‘Saya kurang jelas tentang yang tadi tu, boleh ulang semula?’ ‘Maaf saudara, boleh terangkan maksud sebenar saudara?’. Bertanyakan soalan semasa perbualan menunjukkan anda berminat, ingin tahu dan membuat rakan anda rasa dihargai pendapatnya walaupun ia mungkin berbeza dengan anda.
Tiga teknik iaitu menunjukkan minat dengan isyarat badan, menyimpulkan perbualan dan bertanyakan soalan dapat membantu anda memahami mesej yang disampaikan semasa berbual. Ia juga menjadikan anda seorang yang seronok untuk bersama, prihatin, peka dan mengambil berat pandangan dan pendapat orang lain. Lama-kelamaan, anda akan dilabel sebagai pendengar yang baik dan lebih ramai rakan anda akan ingin berbual dengan anda.
21 Sept 2010
No comments:
Post a Comment